• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Denda RM1,000 Jika Berkumpul Di Tempat Awam

KUALA TERENGGANU - Polis mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul bagi tujuan berbuka puasa dan melepak di tempat awam kerana perbuatan itu dianggap mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, buat masa ini tindakan kompaun RM1,000 akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati berkumpul di tempat awam seperti di Pantai Batu Burok, Dataran Syahbandar, Pesisir Payang dan kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat.

“Peringkat awal ini kita akan kenakan kompaun terlebih dahulu seperti yang kita kenakan semasa PKP fasa kedua, kalau ada yang masih berdegil kita akan tangkap, reman dan dakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tular dalam media sosial baru-baru ini, foto yang menunjukkan sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan lapang sebelah muara utara Jambatan Angkat.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok baru-baru ini berkata, pihaknya menerima aduan mengenai orang ramai yang keluar bersantai di kawasan rekreasi seperti Taman Awam Batu Burok pada waktu malam.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mengambil beberapa langkah bagi menghalang orang ramai daripada berkumpul di kawasan berkenaan dengan memantau dan menutup taman itu supaya tidak dimasuki orang awam selepas tamat waktu operasi kios dan kedai jualan pada jam 10 malam. - Bernama.