• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Dendong Mukim Tembila Projek Rumah Mampu Milik Terengganu


BESUT, 3 Mac - Projek pembangunan perumahan mampu milik dan bercampur di atas tanah kerajaan seluas 60 ekar di kawasan Dendong, Mukim Tembila di sini merupakan usaha kerajaan negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40) memiliki rumah pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata,pihaknya telah melantik pemaju iaitu Syarikat Wanland Metro Sdn Bhd untuk melaksanakan projek berkenaan dengan mengutamakan pembinaan rumah patuh syariah.

“Pembangunan perumahan mampu milik dan bercampur di kawasan ini mengandungi 200 unit rumah teres satu tingkat mampu milik jenis A, 152 unit rumah teres satu tingkat mampu milik jenis B, 237 unit rumah teres dua tingkat jenis C dan 300 unit pangsapuri lima tingkat.


“Terdapat juga 18 unit rumah kedai dua tingkat serta masing-masing seunit medan selera, surau, tadika serta dewan serbaguna,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau pembinaan rumah contoh di tapak berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Mohamed.


Dr. Alias berkata, unit kediaman tersebut akan dijual pada harga antara RM80,000 hingga RM310,000 seunit kepada orang ramai.

Menurut beliau, projek berkenaan akan dijalankan secara berperingkat di mana fasa pertama dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Kita akan adakan majlis pecah tanah pada awal April ini dan sekiranya tiada apa-apa halangan projek untuk fasa pertama akan terus berjalan dan dijangka siap 2023,” ujarnya.


Tag: