• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Derita Berakhir, Pembeli Rumah Terima Kunci

HULU TERENGGANU, 12 Disember – Derita pembeli Rumah Mampu Milik (RMM) Padang Setengge Fasa 3 dan 4 yang terbengkalai sejak 2014 berakhir apabila seramai 19 pembeli mula menerima kunci hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, penantian 12 tahun melibatkan 234 unit rumah.

“Sewaktu mula menjawat jawatan sebagai Exco perumahan, memang kita (kerajaan) daripada awal lagi sudah melawat ke tapak projek ini dan semua maklum berlakunya perbalahan antara pemaju dan kontraktor sehingga ke mahkamah.

“Oleh kerana projek ini terbengkalai maka ia memerlukan kos tambahan. Kerajaan perlu memperuntukkan sebanyak RM8 juta, namun kita tidak meletakkan harga tambahan kepada para pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Mampu Milik Padang Setengge (Fasa 3,4), Kuala Berang di sini hari ini

Kerajaan Negeri melantik Sumai Engineering sebagai kontraktor penyelamat bagi projek sakit itu dalam usaha baik pulih sehingga siap sepenuhnya.

Turut dimaklumkan, semua pemilik RMM Padang Setengge layak menerima kunci rumah setelah selesai melakukan pembayaran kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).

Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi hijau negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan ADUN Ajil, Maliaman Kassim.

Terdahulu, projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 2011 melibatkan 234 unit rumah dan dijadualkan diserahkan kepada pembeli pada Ogos 2014.

 


Tag: