• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

‘Derita’ Tukang Gunting Rambut Dapat Pembelaan

SETIU, 2 Februari – ‘Derita’ yang dialami tukang gunting rambut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang tidak membenarkan perniagaan itu dijalankan akhirnya terbela.

Seramai 15 tukang gunting rambut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima bantuan berbentuk sekampit beras dan barangan dapur.

Mereka menerima sumbangan tersebut daripada Pegawai Belia (DUN) Batu Rakit, Azuan Azmi dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sekitar Batu Rakit baru-baru ini. 

Pemilik Abu Barbershop, Engku Abu Hazwan Che Ku Yusuf yang mewakili semua penerima berkata, pihaknya sangat menghargai usaha Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit dan kerajaan negeri yang prihatin terhadap mereka.

"Alhamdulillah, dengan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh kami dalam menghadapi PKP yang dilaksanakan di negara kita pada ketika ini.

“Sudah tentu kehidupan kami banyak terjejas selepas kedai gunting rambut tidak dibenar beroperasi, ia menjejaskan pendapatan kami," ujarnya kepada UPDI.

Kata Abu Hazwan lagi, ramai antara mereka yang mengharapkan agar iniasiatif itu diteruskan di samping ia ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kami tidak minta banyak, cuma mengharapkan perhatian yang berterusan daripada kerajaan negeri pada masa akan datang untuk membela nasib kami,” jelasnya.


Tag: