• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dewan Undangan Negeri Eratkan Hubungan Silaturahim Bersama Perantau

Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad 

KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Kerajaan negeri melalui Dewan Undangan Negeri Terengganu telah mengadakan program ramah mesra bersama Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pihak kerajaan dengan anak negeri ini yang berada di perantauan.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri,  Dato' Yahaya Ali berkata,pihaknya turut berharap agar melalui pertemuan berkenaan PERANTAU juga akan menjadi penyalur maklumat kepada Kerajaan Negeri agar kebajikan mereka terjaga.

"Kami amat berharap agar PERANTAU ini  menjadi mata dan telinga kepada kerajaan sekali gus dapat menyampaikan sebarang cadangan, pandangan dan keperluan kepada kami,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ramah Mesra Bersama Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU), di Dewan Besar D' Elegance Grand Hotel Bandar Seri Alam, Masai, Johor, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan sumbangan bantuan kepada mangsa Covid-19 dan mangsa banjir di perantauan yang telah terkesan dengan ujian tersebut.

"Sebagai inisiatif, sebelum ini Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan Covid-19 sebanyak RM100,000 pada 2 Mei tahun lalu khas untuk anak Terengganu di perantauan yang terjejas sepanjang pandemik COVID-19.

"Malah yang terbaru, Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 lagi kepada anak Terengganu di Perantauan yang telah terkesan dengan banjir melanda Negara kita baru-baru ini." katanya. 

Turut serta dalam program tersebut, Yang DiPertua Pasir Gudang, Mohd Puat Ibrahim, Setiusaha Kawasan, Amran Abdul Aziz, Pengerusi PERANTAU, Khairul Anuar Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi PERANTAU, Roslani Ab. Ghani, Setiausaha, Muhammad Fadhil Ghazali dan para tetamu jemputan semua.


Tag: