• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Didakwa Dera Bayi Sampai Koma, Pengasuh Mengaku Tidak Bersalah

KUALA TERENGGANU, 15 Januari -  Seorang pengasuh pusat asuhan kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan dera terhadap seorang bayi sehingga koma.

Tertuduh, Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Othman, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama sehingga ketujuh, tertuduh didakwa menganiaya seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah pusat asuhan di sini antara 1 sehingga 3 Januari lalu.

Kejadian berkenaan mengakibatkan bayi malang itu mengalami pendarahan di dalam kepala dan retak di bahagian tempurung kepala sebelah kiri.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma akibat didera di sebuah pusat asuhan di bandaraya ini.

Kejadian itu disedari bapa mangsa yang berusia 29 tahun ketika mengambil bayi terbabit, 4 Januari lalu, sebelum menghantar mangsa ke hospital untuk pemeriksaan- UTUSAN