• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dinosaur Dipamer di Pusat Sains Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Pameran hidupan dinosaur prasejarah menjadi tarikan utama pengunjung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini.

Pengurus Besar Wegrow Global, Dr Anir Syazwan Sharbirin berkata, dinosaur ini mempunyai sejarahnya tersendiri dan menariknya di galeri PSKT.
 
Katanya, ada dinosaur yang sebenarya ditemui di Malaysia dan kesahihannya disahkan oleh pakar penyelidik dari universiti tempatan.
 
"Dari sudut kami, ilmu mengenai dinosaur agak kurang diberi perhatian di Malaysia dan inisiatif kami pula menekankan pembelajaran di luar bilik darjah yang mesra untuk semua peringkat umur.
 
“Matlamat pembangunan Dinosaur Encounter adalah berdasarkan tiga cabang utama iaitu sains, teknologi dan pendidikan.
 
“Pameran ini bukan sekadar mempamerkan gergasi purba zaman dahulu, malah kami memanfaatkan aplikasi teknologi terkini untuk memupuk semangat belajar,” jelasnya.
 

Beliau berkata demikian dalam Kenyataan media selepas Majlis Perasmian dan Ikon Sains Sempena Karnival Minggu Sains Negara 2023 bertempat di Dewan Auditorium PSKT di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Ahmad Shah Muhamed dan pegawai-pegawai di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Tambah Dr Anir, pendidikan dan Sains berasaskan teknologi perlu bergerak seiringan.

“Pendapat seperti ini sememangnya benar, namun konsepnya perlu diubahsuai supaya diterima dan dihayati dengan sempurna.

“Wegrow mengambil langkah ini untuk menambah baik mekanisme pembelajaran dengan menerapkan konsep ‘fun learning’.

“Sekali gus memberikan hasil pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan diterima secara menyeluruh,” jelasnya mengenai kepentingan pendidikan dan sains.

 


Tag: