• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dr. Kasemani Dilantik Pengarah  Kesihatan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Terengganu, Dato' Dr. Kasemani Embong dilantik menjadi pengarah kesihatan negeri yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan, pelantikan Dr Kasemani adalah bagi menggantikan Dato' Dr. Nor Azimi Yunus yang ditukar ke Pahang sebagai Pengarah Kesihatan negeri itu pada 23 Julai lalu.

Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan itu, beliau berkata, Dr Kasemani merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, yang berpengalaman luas dalam bidang kesihatan awam dan pengurusan.

"Selamat menjalankan tugas dan amanah. Semoga kecemerlangan Program Perubatan KKM dapat diteruskan," katanya.

Sebelum ini, Dr. Kasemani  pernah berkhidmat Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Klinik Kesihatan Kuala Telemong, Hulu Terengganu.