KUALA NERUS, 17 Jun - Sempena sambutan ambang Maal Hijrah, umat Islam diseru melakukan penghijrahan dalam aspek pemikiran, tingkah laku dan budaya kerja bagi menghadapi pelbagai cabaran semasa yang semakin kompleks.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, semangat hijrah yang ditunjukkan Rasulullah SAW menerusi peristiwa penghijrahan dari Mekah ke Madinah perlu terus dijadikan panduan untuk membina masyarakat.

"Kita perlu melakukan hijrah dalam pemikiran, tingkah laku dan budaya kerja,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Sambutan Ambang Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Seberang Takir, di sini, malam tadi.
Menurut beliau, peristiwa hijrah Rasulullah SAW merupakan manifestasi perubahan menyeluruh.

"Hijrah daripada kejahilan kepada ilmu, daripada perpecahan kepada kesatuan dan daripada sikap leka kepada sikap prihatin terhadap pembangunan ummah," ujarnya.
Beliau turut menyeru semangat hijrah dijadikan sebagai dorongan untuk memperkukuh perpaduan, meningkatkan pencapaian diri dan mengangkat ilmu sebagai asas pembinaan tamadun.

"Mengangkat nilai ilmu dan pendidikan sebagai asas tamadun serta membentuk masyarakat yang berakhlak mulia dan saling menghormati," tegasnya.
Tambah Khalil, Maal Hijrah bukan sekadar sambutan pertukaran tahun dalam kalendar Islam, sebaliknya merupakan seruan untuk menilai kembali pencapaian dan kekurangan diri.
"Maal Hijrah adalah satu seruan untuk umat Islam menilai kembali pencapaian dan kekurangan diri, serta mengambil langkah berhijrah ke arah pembinaan ummah yang berasaskan taqwa dan nilai makruf," katanya.
Tag :
Semasa