• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Dr Mohammad Serah Tugas Kepada Timbalan

Dr. Mohammad Omar (kanan) menyerahkan surat serah tugas kepada Dr. Mohd Jusoh (kiri) di Bilik Mesyuarat Gunasama, Wisma Persekutuan, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail

Dr. Mohammad Omar hari ini menyerahkan jawatan Pengarah Kesihatan negeri kepada timbalannya, Dr. Mohd Jusoh yang akan secara rasmi memulakan tugas barunya sebagai peneraju Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu esok.

Majlis serah terima tugas tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat Gunasama, Wisma Persekutuan.

Dr. Mohammad yang berpegang kepada prinsip meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 35 tahun akan bersara mulai esok.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr. Mohammad turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas segala kerjasama yang diberikan sepanjang beliau menerajui jabatan kesihatan negeri ini.


Menurut beliau, kenangan dan pencapaian sepanjang berkhidmat yang tidak akan dilupakan termasuk berkaitan pembinaan Hospital Setiu dan penubuhan Tabung Darul Iman.

“Bermula dengan kerja-kerja penghasilan kertas cadangan, pencarian tapak dan lain-lain lagi segalanya saya usahakan bersama pasukan sehingga terbinanya sebuah hospital dan tabung berkenaan adalah antara kenangan manis sukar dilupakan,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Mohd yang akan meneruskan legasi Dr. Mohammad memberitahu, beliau akan meneruskan apa yang telah dilaksanakan termasuk memperkemaskan lagi perkhidmatan jabatan kesihatan di negeri ini.

“Kita sangat mengharapkan sokongan dari semua pihak untuk meneruskan kesinambungan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat,” ujarnya.


Tag: