• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dr Muhammad Khalil Hadir Forum Ustaz Azhar, Zizan

KUALA NERUS, 8 September - Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syari'ah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama-sama kira-kira 10 ribu rakyat Terengganu memenuhi Masjid Al Ansar Kem Sri Pantai di sini semalam bagi mendengar soal jawab agama dan celoteh bersama Ustaz Azhar Idrus dan  artis popular Zizan Razak.

Majlis anjuran Manis FM itu mendapat sambutan hangat sehingga kehadiran melimpah ke luar masjid menyaksikan pelbagai persoalan agama dijawab dengan baik oleh Ustaz Azhar dalam masa dua jam.

Ustaz Azhar dan Zizan yang terkenal dengan kelucuannya menjadikan penonton tidak jemu memdengar celoteh mereka sehingga akhir majlis.

Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah sebagai moderator menceriakan majlis dengan pelbagai soalan menarik berkait dengan kehidupan umat Islam seharian. 

Bagaimanapun banyak soalan janggal dikemukakan dalam majlis tersebut termasuk soalan makmum mengikut imam tidak menutup aurat, sama ada wujud orang bujang dalam syurga atau tidak dan suami kembali ke rumah isteri selepas setahun hilang, sedangkan isteri telah berkahwin lain dan soalan-soalan lain lagi.

Zizan menerima sindiran dari Ustaz Azhar kerana masih belum berkahwin sehingga hari ini.

Sementara itu beberapa hadiah turut disampaikan kepada mereka yang bertuah dengan menjawab soalan-soalan mudah dari Zizan dan Ustaz Azhar yang dikenali sebagai murabbi sejuta ummah itu.


Tag: