lightning-solid
Berita :
Dr. Sam Rai Jasa Renjer, Wira Tidak Didendang
Dr. Sam Rai Jasa Renjer, Wira Tidak Didendang
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
46

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga renjer yang disifatkan sebagai wira tidak didendang dalam usaha memelihara khazanah alam.

Menurut beliau, tugas renjer bukan sahaja memerlukan keberanian dan komitmen tinggi, malah turut menuntut pengorbanan dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

"Sambutan Hari Renjer Sedunia bukan sekadar menjadi ruang untuk kita mengiktiraf jasa para renjer, tapi turut menjadi peringatan bahawa kelestarian alam memerlukan keberanian, komitmen dan pengorbanan mereka yang berada di barisan hadapan.

"Renjer merupakan antara wira yang tidak didendang atau 'unsung heroes' dalam usaha memelihara khazanah alam dan yang sentiasa berada di lapangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Jelasnya, renjer berdepan pelbagai cabaran dan ancaman ketika melaksanakan tugas termasuk kegiatan pemburuan haram, pencerobohan hutan, pembalakan serta penerokaan secara haram di samping cabaran muka bumi, cuaca dan bahaya yang tidak dapat dijangka.

Sehubungan itu, Menteri Besar merakamkan penghargaan kepada seluruh warga renjer atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan dalam melindungi khazanah alam negeri.

"Kepada seluruh warga renjer, terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan. 

"Teruskanlah berkhidmat penuh integriti, keberanian dan dedikasi," katanya.

Beliau mendoakan agar seluruh warga renjer diberikan kekuatan serta keselamatan dan perlindungan ketika melaksanakan amanah yang digalas oleh mereka.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu atas penganjuran program berkenaan yang turut melibatkan pelbagai agensi, jabatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha konservasi di negeri itu.


Tag :

Semasa

Artikel Berkaitan