• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dr. Samsuri Angkat Sumpah MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu, hari ini.

Dr. Samsuri, 53, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu bagi penggal kedua pentadbiran PAS di negeri tersebut pada jam 3.15 petang.

Naib Presiden PAS itu dilantik semula memimpin pentadbiran negeri Terengganu setelah parti PAS 'menyapu bersih' 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15, Sabtu lalu.

Dalam kemenangan bersejarah PAS di negeri berkenaan, bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar aeroangkasa itu turut mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang memperoleh 20,926 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman yang mendapat 3,621 undi dengan majoriti 17,295 undi.

Sebelum ini, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas menewaskan dua calon lain daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawi Sulong, dengan majoriti 6,028 undi.

Dalam majlis sama, seramai 10 exco dilantik daripada kalangan ADUN yang menang turut mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam Istiadat Penisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman.

 


Tag: