• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Drawbridge Dilimpahi Cahaya Ungu Semarak Hari Wanita

KUALA TERENGGANU, 8 Mac- Struktur ikonik Terengganu, jambatan angkat atau drawbridge akan dilimpahi cahaya lampu berwarna ungu bermula malam ini bagi menyemarakkan Sambutan Hari Wanita 2022.

Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) dalam satu kenyataan memaklumkan, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri dengan kerjasama Terengganu Inc. akan membuat persiapan serta menghiasi drawbridge dengan pengcahayaan lampu berwarna ungu bagi melambangkan warna simbolik Sambutan Hari Wanita bermula 8 sehingga 10 Mac ini.

Menurut kenyataan tersebut, Hari Wanita disambut setiap tahun di Malaysia sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa wanita yang sangat signifikan dalam pembangunan negara. 

“Bagi tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memilih ‘Saksama Bersama’ sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022 yang disambut pada 8 Mac. 

"Tema ini dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita dapat diupaya dan dioptimumkan demi menyediakan masa depan negara yang mampan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, tema tersebut selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu ”Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow” dan juga disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.