• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dua Anak Jati Terengganu Cipta Nama di Qatar

KUALA TERENGGANU, 5 September - Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin mengharumkan nama Malaysia khususnya Terengganu di Qatar sempena Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa yang berlangsung pada  2 hingga 4 September baru-baru ini.

Dua pelajar sekolah tersebut membuktikan keupayaan mereka apabila Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan  berjaya merangkul kejayaan sebagai Pendebat Terbaik Kategori Bukan Penutur Jati Bahasa Arab manakala rakannya, Abdul Muiz  Hasanulddin meraih tempat kedua terbaik dalam kategori yang sama.

Kejayaan itu secara tidak langsung mengubat kesedihan pasukan Malaysia yang tidak berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas tewas kepada pasukan Bahrain di pusingan ketiga.

Menurut Wan Amzar, mereka berdua telah terpilih menganggotai pasukan debat Malaysia selepas berjaya menjuarai pertandingan debat bahasa Arab kebangsaan pada tahun lalu.

Tambahnya, mereka telah menjalani latihan intensif yang dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersama dua orang lagi murid dari Maahad Pontian Johor yang turut terpilih.

Wan Amzar turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut dan berkongsi terima kasih kepada kedua ibu-bapa, guru-guru, jurulatih-jurulatih dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu serta Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu.

Sementara itu, Pengetua SMA(A)SZA , Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad yang bersama dengan kedua pelajar tersebut turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga dan kewangan bagi menjayakan perjalanan mereka ke Qatar. 

Dia juga berharap kejayaan itu menjadi motivasi kepada anak-anak Terengganu untuk terus cemerlang di peringkat antarabangsa.

Dalam masa yang sama, Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui laman facebook rasminya mengucapkan ucapan tahniah dan penghargaan buat kedua-dua pelajar SMA(A)SZA yang meraih kejayaan sekali gus meletakkan nama Terengganu di persada dunia.

"Syabas dah tahniah juga buat dua orang lagi ahli pasukan debat dari negeri Johor, para ibu bapa, guru-guru, jurulatih dan semua pihak di atas kejayaan yang membanggakan ini.

"Kejayaan ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dorongan semua pihak, Alhamdulillah,"ujar beliau.