• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

Dua Bulan Moratorium Untuk Usahawan Terjejas Banjir

KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bersetuju memberikan moratorium selama dua bulan kepada usahawan yang terlibat dalam musibah banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata ramai di antara usahawan-usahawan di Terengganu yang telah terlibat dengan bencana alam itu.

"Sebelum ini, kita memberikan pengecualian bayaran sewa kepada premis-premis usahawan yang menyewa di premis milik YPU.

"Rentetan dari itu, kita mengumumkan peminjam ataupun usahawan yang menerima pinjaman daripada YPU dan terkesan akibat musibah banjir baru-baru ini boleh juga mengemukakan permohonan penangguhan," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Surat Penganugerahan antara TESDEC Hydropower Sdn Bhd dan Techmile Resources Sdn Bhd di Primula Beach Hotel, hari ini.

Tambahnya, pihak YPU Terengganu sedia menerima, memproses dan memberi moratorium bagi bulan Januari dan Februari 2022 jika syarat yang dikemukan adalah lengkap.

"Permohonan perlulah disertakan dengan laporan polis serta gambar premis yang terlibat dengan banjir.

"Saya berharap dengan moratorium yang diumumkan daripada YPU ini dapat memberikan suatu keringanan kepada yang terlibat dengan musibah banjir baru-baru ini," katanya.