• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dua Hospital Baru Bakal Beroperasi Tahun Hadapan

KUALA TERENGGANU, 9 Disember – Operasi dua hospital baharu dijangka akan bermula sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, dua kemudahan tersebut adalah Hospital Dungun di daerah tersebut dan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus.

Katanya, pembukaan dua hospital itu bagi menampung keperluan penjagaan kesihatan serta peningkatan penggunaan katil pesakit COVID-19.

“Hospital Dungun dengan kos RM120 juta akan disiapkan pada 28 Januari 2022 setelah mengalami penangguhan sebanyak tujuh kali daripada tarikh asal siap iaitu 2019.

“Terdapat pelbagai kekangan luar jangka yang tidak dapat dielakkan oleh pihak kontraktor sepanjang tempoh menyiapkan projek ini termasuk arahan menghentikan operasi pembinaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memberi gangguan terhadap sebahagian rangkaian pembekal.

“Projek yang masih berbaki sebanyak 1.5 peratus ini juga memerlukan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi persiapan penambahbaikkan spesifikasi khusus,” katanya.

Tambahnya, Hospital pengajar di UniSZA sudah siap dan dilengkapi sebanyak 200 katil dan akan diserahkan kepada peringkat Universiti dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian selepas menjalankan lawatan kerja ke Hospital Dungun, di sini, petang semalam.

Turut hadir, YBM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Jelas beliau, Hospital pakar ketiga di Terengganu (Hospital Dungun) telah didirikan di atas tapak seluas 15.3 daripada 50.7 ekar keseluruhan tanah milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia merupakan projek pembinaan fasiliti kesihatan berkapasiti 110 katil yang menyediakan perkhidmatan bertaraf pakar (minor) untuk kemudahan penduduk setempat.

Untuk rekod, hospital terletak di 2KM dari bandar Dungun itu mempunyai 10 skop kepakaran iaitu Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Anestesiologi, Ortopedik, Patologi, Pengimejan, Perkhidmatan Kecemasan dan Pergigian (Pembedahan Pediatrik dan Mulut).