• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Dua Kapal Minyak Diesel Ditahan APMM

Mohamad Rezal melakukan pemeriksaan kapal minyak diesel yang di Perkarangan Maritim Kemaman.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman berjaya menahan dua buah kapal minyak disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak  tanpa kebenaran dari pihak berkuasa dalam operasi Khas di perairan Kemaman.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, dalam operasi berkenaan APMM dapat mengesan dua buah kapal minyak yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel.

“Kapal Kargo Minyak yang bernama Edy Aman dan YTC TUG IX ditahan kira-kira jam 11 malam tadi, dengan jarak jauh lebih kurang empat batu nautika dari Kuala Kemaman.

“Semasa kapal Edy Aman tersebut ditahan bersama seorang kepten kapal warganegara Malaysia berumur 39 dan tiga orang krew kapal warganegara Indonesia berumur lingkungan 28 hingga 30 manakala kapal YTC TUG IX bersama seorang kepten kapal dan lima orang krew kesemuanya warganegara Indonesia berumur 26 hingga 46 dan kesemuanya direman selama tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan kapal minyak diesel di perkarangan Maritim Kemaman, hari ini.

Menurut Mohamad Rezal, nilai keseluruhan minyak diesel yang dirampas tersebut kira-kira RM23,000 dengan harga RM2 bagi seliter.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kedua-dua kapal didapati tiada dokumen kebenaran dan permit bagi melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel di laut.

“Dengan itu kapal tersebut boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyalahgubakan Lesen Perkapalan negeri di bawah Lembaga Perlesenan Perkapalan Negeri 1981 dan melakukan kesalahan di bawah Lembaga Pelabuhan Kemaman,” katanya.


Mengulas berkenaan minyak diesel tersebut, Mohamad Rezal berkata, anggaran keseluruhan minyak hasil rampasan kapal Edy Aman membawa minyak sebanyak 1,500 liter manakala kapal YTC TUG IX pula membawa sebanyak 10,000 liter.

“Kedua-dua kapal ini ditahan hasil risikan APMM Kemaman dimana kapal ini sedang melakukan pemindahan minyak berdasarkan minyak yang berada dalam tangki dan hose yang masih berada didalam saluran minyak semasa pemeriksaan.

“Kegiatan pemindahan minyak dari kapal secara haram kebiasaannya dilakukan pada waktu tengah malam sehingga waktu subuh,” katanya.


Tag: