• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dua Lagi Menara Telekomunikasi Di Tasik Kenyir

HULU TERENGGANU, 10 Oktober -  Dua menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan pelancongan Tasik Kenyir bagi menyelesaikan masalah capaian telekomunikasi yang sentiasa berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Ulitili dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, ia dijangka akan selesai pada tahun hadapan untuk memberi keselesaan kepada  pelancong yang bercuti di tasik itu.

Katanya, ketika ini hanya terdapat tiga menara telekomunikasi di tasik tersebut iaitu di Pulau Camar, Tanjung Betung dan Pulau Bayas.

“Tidak dinafikan liputan capaian telekomunkasi di Tasik Kenyir buat masa ini masih lemah apabila tiga menara telekomunikasi yang ada ketika ini belum cukup untuk tingkatkan jaringan telekomunikasi dan internet di kawasan tasik seluas kira-kira 38,000 hektar.

 “Penambahan dua menara baru ini akan mengambil sedikit masa kerana berapa perkara perlu diberi perhatian terlebih dahulu termasuk tapak yang sesuai kerana melibatkan hutan simpan, selain kos,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, sebanyak 66 menara telekomunikasi baharu dijangka beroperasi di Terengganu menjelang tahun hadapan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara(Jendela).

“Dua syarikat telah dilantik kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi Mulitimedia Malaysia(MCMC) dengan kerjasama kerajaan negeri iaitu Theta Telecoms Sdn. Bhd. serta  Felda FGV Prodata,” ujarnya.