• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dua Lagi PPS Dibuka, Bilangan Mangsa Banjir Terengganu Terus Meningkat

KUALA TERENGGANU, 19 Disember- Kemaman menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Ia sekali gus menjadikan dua daerah di Terengganu terjejas akibat bah itu selepas Dungun.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu sehingga 12  tengah hari menunjukkan keseluruhan 326 mangsa membabitkan 101 keluarga sudah dipindahkan ke lima PPS.

Di Kemaman, PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor kini menempatkan enam mangsa daripada satu keluarga.

Manakala, PPS Dewan Sivik Air Putih pula menempatkan 59 mangsa daripada 12 keluarga.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Dungun kekal dengan 261 mangsa daripada 88 keluarga di tiga PPS.

“PPS Dewan Orang Kampung Minda  dibuka apabila perkampungan tersebut mula dilanda banjir malam tadi.

“Setakat ini, PPS yang dibuka 9.30 malam tadi itu, menempatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga.

“Dua PPS lain yang kekal dibuka iaitu PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja melibatkan seramai 177 daripada 64 keluarga dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Shukur pula mempunyai 71 mangsa daripada 21 keluarga,” katanya.