• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Dua Loji Air Di Marang Jangka Selesai Masalah Air Sebelum Aidilfitri Ini

KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Lebih 7,000 pengguna akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Marang yang sebelum ini kerap kali berdepan dengan tekanan air rendah bakal pulih sepenuhnya sebaik Loji Air Pengkalan Berangan dan Loji Air Pasir Tinggi dijangka dapat beroperasi sebelum menjelang Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, dua loji itu sebelum ini berada di Kampung Pulau Bahagia, Manir dipindahkan ke kawasan itu pada awal April lalu berikutan penduduk Manir dan beberapa kawasan berdekatan sudah menerima loji lebih besar .

Katanya, Loji Air Pengkalan Berangan mampu menampung 3,000 juta liter padu (MLD) air untuk dibekalkan air bersih kepada 3,000 isi rumah dan Loji Air Pasir Tinggi pula berupaya menyalurkan 5,000 MLD air kepada 5,000 pengguna bekalan air pada satu-satu masa.

“Berdasarkan rekod, kampung yang bakal menerima manfaat adalah Kampung (Kg) Bukit Jetit, Kg Tasek, Kg Kubu, Kg Alor Wan Syed, Kg. Pengkalan Berangan, dan Kg Tanjung Belor.

“Mereka yang tinggal di Kg Tiruk, Kg Pasir Tinggi, Kg Pantai Ali, Kg Nyut-Nyut, Kg Padang Limau Nipis, Kg Padang Kacong, Kg Padang Pak Wan dan Kg Pak Madah turut mendapat kesan yang sama,” katanya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, kawasan itu sebelum ini mendapat sumber air daripada Loji Air Kepong 2, memandangkan jaraknya agak jauh selain kebanyakan rumah berada di kawasan berbukit, menjadi antara punca penduduk kerap kali berdepan dengan tekanan air rendah.

“Sepatutnya penduduk di kawasan itu mendapat bekalan air lebih awal, disebabkan terdapat masalah teknikal dan berdepan dengan kekangan kakitangan yang bertugas, pihaknya memberi jaminan bekalan air yang lebih sempurna sebelum Aidilfitri ini,” katanya.

   

 


Tag: