• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Dua Lokasi Di Setiu Diisytihar Kampung Pelancongan

SETIU, 24 Oktober - Dua perkampungan iaitu Kampung Mangkuk dan Kampung Baru Penarik telah diisytiharkan sebagai Kampung Pelancongan Terengganu di mana ia berpotensi menonjolkan identiti negeri di persada negara dan dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, bertemakan perkampungan tradisional, keunikan budaya, makanan dan lokasi itu juga membolehkan ia dicalonkan sebagai kampung pelancongan terbaik di Malaysia.

“Tempat ini dipilih untuk bersaing dengan dua lokasi lain iaitu Miso Walai, Sabah dan Kampung Bario, Sarawak anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Perkampungan ini juga berpotensi sebagai pendapatan ekonomi alternatif buat para nelayan dan penduduk setempat memandangkan kesukaran mencari rezeki disebabkan musim tengkujuh.

“Antara produk lain di sini seperti kawasan sungai ini juga merupakan lokasi sesuai bagi tapak penetasan tuntung laut dan sungai, Taman Bencah Setiu (Setiu Wetlands), Rumah Botol, Terrapuri dan banyak lagi,” katanya.

Rumah botol antara salah satu produk pelancongan di Kampung Mangkuk.

Tambahnya, menerusi tarikan tersebut, pihaknya mencadangkan tarikan lokasi berdekatan Kampung Mangkuk digabungkan dalam bentuk pakej-pakej bagi pengunjung untuk menginap di kampung tersebut dan berkunjung ke lokasi pelancongan yang ada, sekali gus memberi hasil kepada komuniti.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pengisytiharan tersebut di Desa Pancaran Delima, semalam.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Zulbhari A Rahman, Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Fadhli Yusof Zakaria dan Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif.

Sementara itu, Ariffin turut berkongsi Terengganu khususnya Setiu sebagai tumpuan rakaman dan produksi filem serta drama kerana lokasi pantai cantik bukan sahaja di pulau-pulau dan pedalaman, malah di rumah-rumah perkampungan tradisional.

“Ini secara langsung mempromosikan negeri di kaca televisyen,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, pihaknya akan terus bekerjasama dengan daerah tersebut bagi menjadikan ia sebagai tempat tumpuan pelancongan bukan sahaja bagi pengunjung dalam negara malah dari antarabangsa.