Dua Projek Perumahan Bakal Dibina di Langkap

KUALA TERENGGANU, 17 April - Dua projek perumahan baharu yang dicadangkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dilihat sebagai langkah penting dalam usaha membela nasib generasi muda luar bandar, khususnya golongan B40 dan generasi kedua FELDA.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, menyifatkan kedua-dua projek itu sebagai peluang penting untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada pasangan muda dan belia luar bandar, sejajar dengan usaha memperkukuh komuniti serta mengurangkan penghijrahan ke bandar.

“Cadangan di FELDA Chalok Barat yang memfokuskan perumahan generasi kedua FELDA dan RMM Sungai Bari bagi golongan B40 serta pasangan muda.

“Di FELDA Chalok Barat, cadangan bagi pembinaan 100 unit rumah di bawah Program Residensi Rakyat telah diangkat permohonan kepada KPKT untuk pertimbangan kelulusan perlaksanaan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP1 RMKe13), namun ianya masih di dalam pertimbangan pihak kementerian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Manakala menurut katanya, di Sungai Bari, pembinaan 200 unit rumah dibawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) dan permohonan juga telah diangkat kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan kelulusan perlaksanaan dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP1, RMKe13) dan masih dalam pertimbangan pihak kementerian.


Tag: