• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Dua Pusat Pemindahan Banjir Dibuka Di DUN Langkap

SETIU, 18 November - Dua Pusat Permindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap sejak tengah malam tadi selepas banjir melanda kawasan terbabit.

Pegawai Pertahanan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Setiu, Kapt. (PA) Mohd Nizu Husien, berkata PPS yang dibuka ialah PPS Kampung Sungai Lerek di Mukim Chalok dan PPS Kampung Bukit Nyior, Pelong di Mukim Hulu Nerus 1.

"Setakat ini PPS Bukit Nyior melibatkan 37 orang mangsa daripada 10 keluarga. PPS Sungai Lerek pula melibatkan 7 orang mangsa dari sebuah keluarga di mana mereka ini telah dipindahkan dengan bantuan jentera APM.

"Pihak APM menerima panggilan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Lerek untuk memindahkan mangsa yang terperangkap di dalam rumah akibat paras air yang naik mendadak di Kampung Chalok Barat.

"Pada jam 11.50 malam semalam kesemua mereka ini berjaya diselamatkan dengan bantuan seorang sarjan muda dan empat orang prebat APM dan kesemua mereka dibawa ke Balairaya Sungai Lerek," kata beliau ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Langkap Azmi Maarof menasihatkan penduduk supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada musim banjir ketika ini.

"Saya menyeru mereka yang perlu berpindah supaya sentiasa memberi kerjasama kepada agensi penyelamat dan jagalah keselamatan diri serta pantaulah pergerakan anak-anak supaya dapat mengelak daripada berlakunya kejadian tidak diingini," katanya ketika melawat mangsa banjir di PPS Sungai Lerek.


Tag: