• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Dua Sahabat Mati Lemas



Muhammad Hafiz Asran


Muhammad Arif Haikal Amran

DUNGUN : Kegembiraan 15 sahabat mandi manda di Air Terjun Lubuk Kain Kampung Syukur, di sini, sempena cuti persekolahan berakhir dengan tragedi selepas dua daripada mereka lemas ditarik oleh arus deras ke dalam lubuk tersebut, semalam.

Kedua-dua pelajar terbabit, Muhammad Arif Haikal Amran 16, dari Padang Kemunting dan Muhammad Hafiz Asran, 16, dari Kampung Pak Payu  lemas ketika mandi di situ,  kira-kira jam 1 petang.

Jaswari Awang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, Jaswari Awang,  berkata sepasukan enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Menurutnya, sebelum kejadian,  Muhammad Hafiz dikatakan terjun dari sebuah batu yang tinggi di situ,  sebelum terkapai-kapai meminta tolong kerana ditarik arus.

"Seorang lagi rakan mangsa, Muhammad Arif Haikal yang menyaksikan kejadian itu terjun untuk memberi bantuan menyebabkan dia turut lemas," katanya.

Tambah Jaswari, melihat kepada keadaan tersebut, rakan mangsa yang lain bertindak memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung, sebelum melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

"Anggota bomba bersama polis dan penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat sebelum berjaya menemui Muhammad Arif Haikal,  kira-kira jam 2 petang.

"Seorang lagi mangsa,  Muhammad Hafiz ditemui di dasar sungai setengah jam selepas itu," katanya.

Mayat dua sahabat  dibawa keluar sebelum dibawa ke unit forensik.

 Pada masa yang sama Jaswari turut mengingatkan orang ramai supaya dapat berhati-hati dan peka terhadap persekitaran kawasan tempat perkelahan bagi mengelak perkara yang sama berulang.

"Orang ramai perlu peka terhadap papan tanda amaran yang telah diletakkan di setiap kawasan perkelahan dan kawasan kejadian kerana lokasi yang sama sudah banyak berlaku kematian sebelum ini," katanya.

Kedua - dua mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan untuk urusan pengebumian.



Tag: