• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dua Sarang Burung Helang Laut Di Menara Telekomunikasi Terengganu Hilang

KUALA TERENGGANU, 11 April- Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini didapati dua sarang burung Helang Laut yang berada di menara telekomunikasi di Terengganu telah hilang dipercayai akibat dimusnahkan pengendali menara terbabit atau diperdagangkan secara haram oleh individu tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Terengganu, Wong Chee Ho's berkata sudah tiba masanya syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia menggubal dasar bukan sahaja memastikan keselamatan pekerja penyelenggara terjamin bahkan memastikan hidupan liar yang bersarang di menara itu turut dilindungi.

"Ini kerana sudah banyak negara lain mempunyai protokol yang menyokong kewujudan antara manusia dan hidupan liar yang melibatkan menara telekomunikasi dan antara perkara yang boleh dilakukan termasuk mengubahsuai struktur menara seperti menambahkan palatform di lokasi lebih selamat dan jauh daripada peralatan yang digunakan oleh pekerja penyelenggara,"ujarnya dalam suatu kenyataan, di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut katanya, menara-menara telekomunikasi sememangnya menjadi pilihan beberapa burung pemangsa liar sebagaimana burung helang terbabit atau nama saintifiknya, Haliaeetus Leucogaster sebagai tempat pembiakan kerana mempunyai platform yang stabil, selain lokasi yang strategik dan memiliki ketinggian optimum.

Jelasnya, kejadian kemusnahan sarang burung terbabit bukan perkara baharu kerana sarang aktif yang mengandungi spesies haiwan berkenaan sebelum ini pernah dimusnahkan oleh syarikat telekomunikasi yang beroperasi di Merang, Setiu pada Januari tahun lalu.

"Pada 31 Januari lalu pula kita telah mengesan sebiji telur dan seekor anak burung Helang Laut yang baru menetas di menara telekomunikasi Hulu Terengganu dengan induk jantan serta betina kerap membawa makanan ke sarang.

"Namun pada 16 Februari, sarang tersebut telah hilang dan kes yang sama juga turut dikesan telah berlaku di Kuala Nerus apabila sarang yang digunakan bertahun-tahun oleh haiwan terbabit dan mengandungi seekor anak didapati telah dimusnahkan pada 18 Mac.

"Sepatutnya apabila sarang aktif ditemui, spesies hidupan berkenaan perlu dilindungi sepenuhnya dan tidak boleh dimusnahkan,sebaliknya ia perlu dibiarkan tanpa sebarang gangguan sehingga anak burung itu terbang meninggalkan sarang,"ujarnya lagi.