• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Dua Warga Emas Rantau Abang Rela Berdikari

Salah seorang pesakit yang menerima bantuan dari Abdul Halim

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 8 Ogos – Ada penduduk Rantau Abang di sini enggan memohon bantuan dari agensi kebajikan kerajaan kerana bimbang ada yang lebih layak dari mereka untuk berbuat demikian.

Salah seorang yang ditemui, Mohd Syukri Ab Majid, 55  berkata dia masih mampu bekerja walaupun hasil pendapatan tidak cukup untuk menampung kehidupannya sekeluarga.

"Takut ada yang lebih susah daripada saya, jadi saya akan mengambil hak mereka, disebabkan saya mereka tidak dapat bantuan.

“Jadi saya takut dipersoal di hadapan Allah nanti, " kata bapa kepada lima orang anak itu.

Mohd Syukri yang ditemui oleh wakil media ketika rutin ziarah penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun  diwakili oleh pegawai peribadinya, Abdul Halim Nasir membuat lawatan tersebut di Kampung Pinang Baru di sini. 

Mohd Syukri yang tinggal di Kampung Pinang Baru itu memberitahu pernah mengisi borang e-kasih dan pernah dilawati oleh pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sekali gus dimaklumkan permohonannya berjaya.

"Bagaimanapun sehingga sekarang, saya tidak terima apa-apa bantuan, jadi saya diam jelah, mungkin ada yang lebih layak, takut jugok," ceritanya sambil bibir mengukirkan senyuman.

Menurutnya empat orang anak beliau masih bersekolah termauk dua orang di sekolah menengah manakala dua orang lagi belajar di universiti awam.

Sementara itu seorang penghidap lemah jantung, Mokhtar Ali, 57 yang juga malu untuk memohon bantuan kerajaan memandangkan beliau masih boleh bekerja walaupun tidak dapat melakukan kerja-kerja berat.

"Berilah kepada orang lain dulu, melainkan kalau saya tidak bergerak dan hanya mampu berbaring," katanya yang mempunyai enam orang anak yang mana empat daripadanya masih belajar.

Bagi mereka, selagi kudrat masih ada untuk mencari nafkah yang menjadi tanggungjawab seorang ayah dan ketua keluarga, mereka lebih gemar berusaha sendiri menyara hidup keluarga masing-masing tanpa perlu meminta-minta walaupun tahu memang menjadi tanggungjawab kerajaan membantu.


Tag: