• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

DUAT Gilap Skil Pengucapan Wanita Terengganu

Foto : Media DUAT

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera mampu mengasah kemahiran berkomunikasi dalam kalangan peserta, memberi pendedahan berkenaan strategi berhadapan dengan khalayak dan melatih peserta supaya berani berhujah di hadapan penonton dengan penuh keyakinan dan keberanian.

Pengarah program, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, program tersebut yang telah diadakan di Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu (PSKT) merupakan program latihan khusus untuk para wanita dalam Negeri Terengganu.

Menurut beliau, program yang menyasarkan golongan wanita meliputi pelbagai usia itu mendapat sambutan daripada peserta meski pun terpaksa berlangsung dalam suasana norma baharu.

“Ramai pihak yang menghantar wakil dan kalau saya boleh sebutkan, antara yang terlibat ialah para Daie Wanita Terengganu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES), Pertubuhan Ikatan Generasi Anak Terengganu (i-GenT), Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) serta masyarakat awam.

“Kita ada dua tujuan utama program iaitu memfokuskan kepada peserta tentang strategi-strategi untuk menangani cabaran pengucapan awam dan penguasaan pentas yang efektif.

“Dan yang kedua ialah untuk menambahkan keyakinan diri para peserta untuk mengatasi perasaan gementar apabila berhadapan dengan orang ramai,”ujarnya.

Ilhami berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Program Seni Pengucapan Daie Wanita Terengganu Sejahtera dianjurkan oleh Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan dikendalikan oleh Perunding Pembangunan Wanita Ummah Training Centre, Mariyam Sa'ari yang juga merupakan Finalis Solehah TV Al-Hijrah telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.

Beliau juga berharap program tersebut dapat membantu para peserta khususnya para daie dalam kalangan wanita Terengganu untuk memahami serta mengaplikasi ilmu pengucapan awam dengan cara penyampaian yang lebih berkesan dan efektif.



 

Ilhami bergambar bersama Zuraida.