• 28 Okt 2020 | 11 Rabiul Awal 1442

'Dulu Beli Cermin Mata Kat Pasar Je'

HULU TERENGGANU, 16 Oktober - "Alhamdulillah dapat bantuan cermin mata ini kalau tidak, pakai spek beli dekat pasar saja untuk mengaji, " demikian luahan penerima bantuan, Faziah Ismail, 50.

Penduduk Kampung Kedai Manir itu meluahkan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima sumbangan cermin mata (sesi pemeriksaan mata) anjuran Jabatan Kebajikan Malaysia JKM Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat PKM Manir.

"Kalau nak beli sendiri memang tak mampu sebab harga beratus, kalau nak mengaji atau isi borang tu memang pakai cermin mata yang beli harga murah-murah saja sebab rabun dekat.

"Alhamdulillah, JKM Daerah Kuala Terengganu beri peluang kepada saya dan semoga sumbangan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya kepada Media Urusetia Penerangan Darul Iman UPDI.

Menurutnya, dia yang sudah kematian suami sejak lapan tahun lalu sangat terharu kerana terpilih untuk sesi bantuan kali ini diadakan di Dewan Musolla Kompleks Al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, semalam.

Faziah sebahagian daripada 130 penerima yang hadir untuk sesi pemeriksaan mata bagi DUN Manir.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Masyarakat DUN Manir, Rozali Mamat berkata, cermin mata itu diagihkan kepada warga emas dan golongan B40 yang mengalami masalah penglihatan di kawasan ini.

“Ada yang berpendapat, pemberian ini tidak seberapa, namun ia amat bernilai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.