• 28 Okt 2020 | 11 Rabiul Awal 1442

Dulu Jurutera, Sekarang 'Food Rider'

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Zaman sekarang, bukan mudah untuk dapatkan kerja yang stabil dan meninggalkan gaji lumayan.

Namun, ia berbeza dengan pemuda ini, Wan Mohd Affandi  Wan Ahmad, 32, yang sanggup meninggalkan kerja dengan gaji lumayan dalam bidang kejuruteraan kerana keluarga.

Wan Mohd Affandi berkata, bergelar 'rider' e-hailing bukanlah pekerjaan idamannya namun demi kelangsungan hidup dia tekad untuk meneruskan kerjaya dalam bidang itu.

“Saya bekerja sebagai jurutera di Kuala Lumpur dan saya mengambil keputusan untuk berhenti disebabkan isteri saya yang bersalin berada di Kuala Terengganu dan saya ingin bersama dengannya dan anak kami pada Julai 2019.

“Sebelum itu, saya bekerja sebagai pengurus sekuriti di Pasaraya Mydin dan dalam masa yang sama saya dapat tahu Foodpanda masuk ke Kuala Terengganu. Saya dapat tahu yang pendapatan Foodpanda lumayan sebab  ramai kawan-kawan saya yang terlibat dalam pekerjaan ini beritahu tentangnya.

“Jadi bila saya buat foodpanda sekurang-kurangnya pendapatan saya tu boleh mencecah sampai tiga ke empat ribu dalam masa satu bulan,” ujarnya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. 

Wan Mohd Affandi, dia lebih menumpukan penghantaran di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kerana dua kawasan tersebut mendapat permintaan secara atas talian paling tinggi.

“Sementara itu, dari segi masa ia lebih mudah disesuaikan mengikut ketetapan yang saya aturkan.

“Saya boleh masuk pukul berapa saya nak, habis pun dalam masa yang saya tetapkan. 

“Contoh saya masuk dalam pukul 11 pagi dan habis pukul 3 petang. Dalam masa tu saya boleh buat 15 pesanan untuk satu hari bergantung kepada situasi dan kerajinan,” katanya lagi yang pernah memperolehi RM8,000 sebulan sebelum berlakunya wabak COVID-19.

Ditanya adakah beliau menyesal dengan keputusannya meninggalkan pekerjaan sebagai jurutera yang lebih berprestij, Wan Mohd Afandi berkata, dia tidak pernah menyesal atau menoleh ke belakang setelah berhijrah kerjaya.

“Sebagai jurutera di Kuala Lumpur pendapatan saya dalam RM3,200. Menyesal?  Saya tak pernah menyesal berhenti walaupun sebelum ni saya tidak terfikir untuk buat foodpanda.

“Saya buat ini untuk keluarga kecil saya,” tegasnya.