• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

"Dulu 'Lecoh', 'Lening' Beres Dah"

KEMAMAN, 12 April - "Alhamdulillah lening (sekarang), dulu tapak pasar malam ini memang lecoh (berselut) kalau hujan, orang nak membeli memang tak boleh nak masuk," luah Salehuddin.

Salehuddin Abdul Halim, 34, peniaga selipar di Pasar Malam Kampung Bukit Kuang, Kijal berkongsi rasa syukur apabila ditanya tentang keadaan sekarang di pasar malam tersebut yang telah dinaiktaraf.

Salehuddin yang hampir 20 tahun berniaga di sini setelah mewarisi perniagaan ayahnya berterima kasih kepada pihak pengurusan pasar malam serta kerajaan setelah apa yang dilakukan sekarang.

Haji Zilani Awang.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) di Bukit Kuang, Haji Zilani Awang yang ditemui di tapak tersebut tempoh hari menyatakan, ia telah dinaiktarafkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

"KPLB telah membelanjakan sebahagian peruntukannya bagi membina dataran kejat ini melalui pelaksanaan Program Ameniti Sosial kementerian tersebut.

"Sepatutnya ia telah disiapkan pada penghujung tahun lepas tetapi tertangguh akibat musim tengkujuh," katanya.

"Sebelum ini, tapak pasar malam ini berlantaikan batu kerikir besar yang tidak diturap menyebabkan para pengunjung sukar untuk berjalan dengan batu yang berselerak.

Tapak pasar malam setelah dinaiktarafkan.

"Tapi sekarang alhamdulillah ia telah kemas diturap dan tiada lagi lopak-lopak air seperti sebelumnya," jelasnya.

JPKK RAKR Bukit Kuang menguruskan pasar malam tersebut dengan mengutip yuran daripada setiap peniaga sebanyak RM3 sebagai kos pengurusan.


Tag: