• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

DUN Air Putih Sumbang Mesin Pam Air Dan Paip Poly Kepada Peserta Tanaman Berkelompok

KEMAMAN, 12 Oktober - Seramai 25 orang peserta tanaman berkelompok dari Kampung Seberang Tayur Hulu telah menerima sumbangan berupa 5 buah mesin pam air dan 2 gulung paip poly daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih baru-baru ini.

Penerima sumbangan terdiri daripada peserta projek tanaman jagung, kacang dan timun halus di tapak Tanaman Berkelompok, Teluk Romania, Kampung Seberang Tayur. Mesin pam air yang berfungsi untuk menyedut air sungai ini akan menyalur dan menyiram air ke atas tanaman di tapak projek tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim turut turun padang ke tapak projek berkenaan bagi menyampaikan sumbangan kepada para peserta.

“Diharapkan dengan adanya tambahan mesin pam air ini, hasil tanaman dapat dipertingkatkan memandangkan sebelum ini para peserta perlu bergilir-gilir menggunakan mesin pam air yang sedia ada dan terhad” ujar beliau sewaktu menyerahkan sumbangan.

“Semoga beban para peserta sedikit sebanyak dapat diringankan kerana mesin ini juga dapat membekalkan air yang mencukupi kepada tanaman untuk bertahan lebih lama dan tidak mudah rosak,” tambah beliau lagi.

Beliau juga berpeluang melihat sendiri bagaimana mesin-mesin ini berfungsi di samping mendapat serba sedikit penerangan daripada para peserta.

Rata-rata para peserta menzahirkan rasa terharu atas kecaknaan YB Razak terhadap petani seperti mereka yang mana bercucuk tanam merupakan sumber rezeki mereka bagi menyara keluarga masing-masing terutama di dalam keadaan pandemik covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.