• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dungun Sedia Terima Tambahan Bekalan Vaksin

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 2 Julai- Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang mengalu-alukan sekiranya kerajaan negeri menambah bekalan vaksin untuk membolehkan lebih ramai penduduk di daerah itu menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menurutnya, setakat ini, hanya 14 peratus warga Dungun yang disuntik vaksin dan menyebabkan ramai yang masih menunggu.

"Kita sentiasa bersiap sedia sekiranya kerajaan negeri bersetuju menambah PPV di daerah ini, tetapi yang menjadi masalahnya sekarang adalah kekurangan bekalan vaksin,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun meninjau Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, di sini. 

Program Outreach tersebut dibuka buat pertama kalinya pada 30 dan 31 Julai lepas dengan  memperuntukkan sebanyak 1,000 dos di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu. 

Menurutnya, beliau sangat mengharapkan tambahan vaksin diberi keutamaan kepada daerah Dungun memandangkan kes positif di daerah berkenaan telah melebihi angka 100.

Sementara itu,  Alias berharap  penambahan vaksin tersebut perlu dipercepatkan memandangkan Dungun dilihat sebagai kawasan kritikal ketika ini dengan penularan COVID-19 meningkat setiap hari. 

"Memanglah tiada jaminan selepas suntikan vaksin kita tidak dijangkiti virus COVID-19, tetapi mereka yang telah menerima, insyaAllah tidak bergejala," katanya.
 


Tag: