• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Dunia Pendidikan Lebih Memahami Masyarakat

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 8 Januari - "Dunia pendidikan ini banyak mengajar untuk lebih memahami situasi masyarakat dan keadaan persekitaran," jelas seorang penerima anugerah Tokoh pendidik peringkat Negeri, Noorzila Mohamed.

Menurutnya yang juga seorang ustazah berusia 48 tahun, guru ibarat  petani yang sentiasa memastikan tanamannya subur tanpa gangguan musuh.

"Alhamdulillah, rezeki dari Allah. Sebenarnya anugerah ini adalah untuk memberi inspirasi kepada saya untuk terus berdakwah.

"Berperanan sebagai daie, mengajak masyarakat,terutama muslimat terus mencintai ilmu dan beramal dengan Islam," katanya ketika dihubungi pada hari ini.

Beliau yang menetap di Kampung Kubang Bujuk, Manir telah bertugas sebagai seorang guru sejak tahun 2005.

Noorzila menyifatkan cabaran ketika mendidik masyarakat untuk menjadi insan berguna bukan perkara yang mudah.

"Anak-anak yang kurang minat belajar ini boleh diselesaikan melalui guru sebagai murabbi bukan sekadar pengajar.

"Begitulah tugas seorang pendidik. Kena jadikan murid sebagai anak-anak yang disayangi," ujarnya yang kini masih mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Menara, Manir.

Beliau turut menasihati generasi muda agar kekal istiqamah dengan ikhlaskan hati membuat semua perkara kerana Allah dan sentiasa menuntut ilmu.

"Berkata Iman al-ghazali, orang yang dikatakan berilmu ialah orang yang sentiasa berinteraksi dengan ilmu.

"Belajar untuk memahami politik Islam dan mengkaji sirah-sirah Rasulullah serta memahami perjuangan para muslimat Islam masa silam," ujar beliau.

Beliau memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (Ajk) Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (Ketua Lujnah Dakwah), Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ketua Tarbiyyah Hulu Terengganu, Ajk Tarbiyyah Negeri Terengganu, Ajk alimat Negeri Terengganu, Naqibat Teras Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Dan Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu (DMPNT).

Selain itu, Pengarah j12k Muslimat Hulu Terengganu, Ajk tarbiyyah DMPM, Penasihat Muslimat Dun Manir, Naqibat Ameerah Hulu Terengganu dan Setiausaha Muslimat cawangan Kubang Bujuk serta penceramah bebas dan pengkuliah bertauliah negeri Terengganu.