• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

E-Sport Kurang Aktiviti Fizikal

Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
KUALA NERUS, 8 November - Kerajaan Terengganu menerima baik peruntukan RM10 juta untuk E-Sport yang diumumkan dalam Bajet 2019 namun Terengganu tidak memberikan tumpuan utama kepada sukan itu.

Pengerusi Jawatankuasa  Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia adalah kerana sukan tersebut kurang aktiviti fizikal berbanding sukan biasa.

“Saya menerima baik hasrat ini. E-Sport ini merupakan satu sukan yang baru diperkenalkan dan di peringkat sukan Asia baru-baru ini telah pun dimasukkan agenda di mana ia akan menjadi salah satu sukan yang dipertandingkan.

“Di peringkat sukan Asia baru-baru ini tiada pingat lagi yang dipertandingkan kerana ia sekadar sukan pengenalan dan mungkin selepas pada ini sukan E-Sport akan dipertandingkan dalam bentuk pungutan pingat dan sebagainya," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan  
Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sukan tersebut di KOMTAQ, baru-baru ini (3 November).

Oleh itu, beliau menambah, ia akan hanya dilaksana secara sederhana dan kerajaan akan memberi fokus kepada sukan sedia ada.

“Kita nak supaya sukan yang akan kita lahirkan adalah sukan yang melahirkan aktiviti yang sihat. E-Sport ini tidak melibatkan mana-mana pergerakan fizikal, sekadar kemampuan kita untuk menguasai permainan duduk dan menggerakkan tangan,” jelasnya.


Tag: