• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

ECTC Ketepi Perbezaan Demi Majukan Pelancongan

Ariffin menandatangani simbolik kerjasama antara negeri ECTC.
Oleh: Ahmad Fadhilah

KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Sektor pelancongan akan dibangunkan sesuai dengan kehendak rakyat sekali gus menjana ekonomi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, satu usaha sama telah dijalin antara empat buah negeri wilayah pantai timur iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor Timur dalam usaha memajukan sektor pelancongan pada awal Disember lalu.

Usaha sama yang dikenali sebagai Kerjasama Strategik Koridor Pelancongan Pantai Timur (ECTC) itu adalah gerakan baharu yang diwujudkan bagi meningkatkan pendapatan negeri melalui industri pelancongan.


"Kita telah sepakat untuk bekerjasama dan saling membantu bagi memajukan negeri di pantai timur walaupun berbeza pentadbiran.

"Kerajaan negeri mengetepikan fahaman perbezaan parti politik dan bersikap terbuka demi memajukan sektor pelancongan di negeri masing-masing," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Kerjasama membina jaringan pelancongan lebih meluas.
Beliau yang merasmikan Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza 2018 di Kompleks Muzium Negeri dua hari lalu turut menyatakan peningkatan sasaran pelancong bagi tahun 2019.

"Seramai lima juta pelancong disasarkan berkunjung ke negeri ini tahun hadapan berdasarkan inisiatif yang dibincangkan dalam usaha sama ini.

"Pelancongan adalah sumber utama kepada negeri-negeri di pantai timur dan lebih penting, ia memberikan manfaat kepada rakyat," katanya.

ECTC turut dihadiri Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Al-Haj Sultan Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung.


Tag: