• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

EKSPO TERENGGANU 2018: Buruh Binaan Juara Pertandingan Memancing

Mohd Jamri berjaya membawa pulang RM50,000. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail

Seorang buruh binaan Mohd Jamri Tikan, 45, dari Pekan, Pahang menjadi pemenang utama selepas berjaya menaikkan keli berat 6.2 kilogram pada  Pertandingan Memancing Kelab RTM Terengganu Dan Nordin KTJ Fishing  sempena Ekspo Terengganu 2018, di pekarangan Stadium Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Mohd Jamri berjaya membawa  pulang wang tunai berjumlah RM50,000.

 Manakala tempat kedua dimenangi Mohd Afendi Wan Razak, 22 dari Kuala Besut membawa pulang wang tunai RM30,000 dan tempat ketiga (RM15,000) dimenangi Mohd Syukri Yusof, dari Kampung Pak Madah, Bukit Payong.

Mohd Jamri berkata,  apa  diperoleh itu adalah hadiah paling lumayan yang pernah diperoleh sepanjang mengikuti pertandingan memancing di merata negeri.

"Hadiah paling besar  sebelum ini RM10,000 kerana menjuarai pertandingan memancing di negeri sendiri

" Saya akan simpan duit itu untuk kegunaan keluarga, selain mahu dijadikan modal untuk menyertai pertandingan sama pada masa akan datang," katanya


Katanya, demi minat dia bersama enam  rakan sanggup datang dari jauh untuk menyertai pertandingan memancing di Terengganu.

"Bertolak dari rumah kira- kira jam 12 tengah malam, tiba di lokasi memancing pada jam 4 pagi tadi dan sehingga saat ini masih belum tidur," kata bapa kepada 4 orang cahaya mata.

Hadiah pertandingan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Induk 2 Ekspo Dato' Muhammad Pehimi Yusof.

Hampir 4,000 pemancing dari pelbagai negeri menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM195,000.

Tag: