• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

EKSPO TERENGGANU 2018 : Ekspo Terbesar Melabuhkan Tirai Dengan Cerita Kejayaan


Ekspo Terengganu 2018 berakhir dengan cerita kejayaan terbesar dalam sejarah oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Dengan kehadiran 614,511 pengunjung sepanjang tujuh hari berlangsung, akhirnya program sepanjang seminggu yang bermula 25 Februari lalu melabuhkan tirainya dengan pelbagai cerita kejayaan termasuk ucapan penghargaan dan pengiktirafan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ekspo berkenaan, Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata kehadiran pengunjung yang melebihi sasaran awal menunjukkan penganjuran ekspo ini mendapat sambutan luar biasa rakyat Terengganu khasnya.

"Kita pamer pelbagai maklumat, cerita kejayaan, aktiviti-aktiviti yang menunjukkan Terengganu Molek Doh di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang ditadbir oleh menteri besar kita.

"Rata-rata pengunjung yang ditemui memberi maklum balas yang positif..mereka berkata penganjuran ekspo yang terbesar buat pertama kali ini cukup memberi kepuasan.

"Sangat luar biasa...dan memberi pulangan yang besar kepada peniaga-peniaga yang rata-rata ketika saya temui secara individu berkata mereka mendapat keuntungan sepanjang ekspo ini berlangsung," katanya kepada pemberita di sidang media bersama penerima-penerima cabutan bertuah.

Tengku Putera berkata ini termasuklah hadiah cabutan bertuah yang disediakan seperti apartment, tanah lot kediaman serta tanah lot pertanian, kereta Myvi, pacuan empat roda Hiluxs dan dua pakej perkahwinan bernilai RM20,000 adalah sumbangan ikhlas daripada kerajaan negeri.

"Kita buat kerjasama dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan orang-orang perseorangan yang bersama-sama menyumbang hadiah-hadiah tersebut," katanya.

Pihak penganjur turut mengadakan malam penghargaan untuk petugas seramai 4,000 orang yang terlibat sepanjang tujuh hari dengan majlis makan malam dan 100 cabutan bertuah yang mana hadiah utama merupakan sebuah kereta.


Tag: