• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

EKSPO TERENGGANU 2018: Jelajah Ke Setiap Daerah

Ahmad Razif menyampaikan replika kunci Proton Iriz kepada Hindun. 
Kerajaan negeri bercadang memperluaskan program Ekspo Terengganu 2018 ke setiap daerah dalam usaha menyampaikan maklumat daripada kerajaan secara tepat kepada masyarakat setempat.

Menteri Besar,  Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata,  program sama akan diadakan dalam tempoh tiga hari dua malam dengan menekankan pelbagai  kelebihan  yang ada di daerah terlibat.

Katanya, pemilihan daerah yang akan memulakan program pada bulan depan itu akan diputuskan dalam  Mesyuarat Ahli- Ahli Majlis Kerajaan Negeri.

"Oleh itu, saya meminta pihak berkaitan di setiap daerah bersedia untuk melaksanakan program sama tetapi dalam skala yang lebih kecil," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Meraikan Petugas Ekspo Terengganu 2018, di pekarangan Stadium Negeri Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi.

Hampir 5,000 petugas termasuk pengamal media hadir pada majlis yang menawarkan hadiah utama cabutan bertuah sebuah Proton Iriz.

Kenderaan itu berjaya dibawa pulang petugas yang juga peniaga buah, Hindun Melor, 56, dari Permaisuri, Setiu.

Ahmad Razif turut memberitahu,  jika ada kemampuan, program sama akan dipanjangkan ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).


"Apa yang penting kita mahu rakyat faham apa yang dilaksanakan kerajaan, sekiranya ada kekurangan kita akan perbetulkan "katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai sambutan ekspo berkenaan, Ahmad Razif melahirkan rasa bangga dengan sambutan orang ramai di mana ia berjaya merekodkan sehingga 700,000 pengunjung pelbagai peringkat umur.

"Rata- rata mereka melahirkan rasa teruja dan seakan tidak puas walaupun beberapa kali mengunjungi ekspo ini, " katanya.

Tag: