• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

EKSPO TERENGGANU 2018 : Jurulatih Angkat Berat Antara Pengantin Baru Diraikan PM


Perdana Menteri meraikan pasangan pengantin dengan menyampaikan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (SSP-BSN) bernilai RM1,000 sempena Majlis Perkahwinan Perdana di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Tengku Mohd Syamim Tengku Ismail
 
Perubahan tarikh majlis perkahwinan dari Jun kepada bulan Mac membawa tuah kepada pasangan pengantin, Azmer Rahman, 26, dan Norasyikin Nabila Rahimi, 18, apabila diraikan oleh pemimpin nombor satu negara.

Pasangan bertuah itu tidak menyangka terpilih untuk upacara merenjis air mawar dan menabur bunga rampai oleh Perdana Menteri , Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang meluangkan masa meraikan Majlis Resepsi Keluarga Generasi TTB di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus sempena Majlis Perasmian Penutupan Ekspo Terengganu 2018, hari ini.

Azmer merupakan jurulatih angkat berat Terengganu manakala pasangannya Norasyikin Nabila adalah pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2016 bagi kategori 58 kilogram wanita acara sama.

"Perancangan awal kami sebenarnya pada bulan enam tetapi ditawarkan untuk menyertai majlis resepsi ni oleh bapa angkat saya yang bekerja dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

"Dia yang uruskan segalanya untuk kami...apabila dapat tahu perdana menteri sendiri yang akan menepung tawar, memang gembira tak terkata, bangga sangat sebab terpilih antara 111 pasangan pada masa yang sama," katanya kepada pemberita sejurus ditemui selepas majlis itu.

Pada majlis berkenaan,  Najib turut menyampaikan replika kad nikah, sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (SSP-BSN) bernilai RM1,000 dan sijil penyertaan kepada pasangan pengantin.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To' Puan Seri Halina Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud serta Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Menceritakan detik perkenalan, Azmer yang merupakan jurulatih kepada Norasyikin Nabila mula berkenalan pada tahun lepas dan mengambil keputusan untuk berkahwin selepas tiga bulan perkenalan.

Beliau berkata, perkahwinan adalah yang terbaik baginya lebih-lebih lagi mereka berdua berada dalam bidang yang sama dan tidak berniat untuk menghalang isterinya untuk aktif selepas ini.

Mereka akan memulakan sesi latihan selepas seminggu bercuti sebagai persiapan sukan Malaysia(Sukma) di Perak nanti.


Tag: