• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

EKSPO TERENGGANU 2018 : Momen Indah Buat 111 Pasangan Pengantin Baru

Perdana Menteri (dua dari kiri) meraikan Majlis Resepsi Perkahwinan  Keluarga Generasi TTB Perkahwinan  Perdana 2018, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meluangkan masa sempena kunjungan ke Terengganu sejak malam tadi, meraikan Majlis Resepsi Perkahwinan  Keluarga Generasi TTB Perkahwinan  Perdana 2018, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini.

Majlis disertai oleh 111 pasangan pengantin berlangsung kira-kira pukul 12.30 tengah hari selepas kebanyakan mereka dinikahkan di masjid daerah masing-masing, pagi semalam.

Mereka terdiri daripada 10 pasangan dari daerah Kuala Terengganu dan Besut manakala Setiu (enam pasangan), Kemaman (15 pasangan), Dungun (14 pasangan), Hulu Terengganu (10 pasangan), Marang (tujuh pasangan) serta Kuala Nerus (25 pasangan).

Pada majlis berkenaan, Najib turut berkesempatan merenjis air mawar dan menabur bunga rampai ke atas salah seorang pengantin berkenaan iaitu pasangan Azmer Rahman, 26, dan Norasyikin Nabila Rahimi, 18.


Azmer merupakan jurulatih angkat berat Terengganu manakala pasangannya Norasyikin Nabila adalah pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2018 bagi kategori 58 kilogram wanita acara sama.

Najib turut menyampaikan replika kad nikah, sijil Simpanan Premium Bamk Simpanan Nasional (SSP-BSN) bernilai RM1,000, sijil penyertaan kepada wakil pengantin.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To' Puan Seri Halina Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud serta Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Program Perkahwinan Perdana 2018 yang memasuki siri ketiga itu antara lain bagi membantu golongan muda memudahkan proses perkahwinan termasuk membantu meringankan bebanan ahli keluarga yang tidak berkemampuan  dalam urusan mengadakan majlis perkahwinan anak mereka.

Tahun lalu, Terengganu menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghimpunkan 271 pasangan pengantin dalam majlis resepsi yang diadakan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.


Tag: