• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

EKSPO TERENGGANU 2018: PM Puji, Kejayaan Luar Biasa Ekspo

Mohd Najib melihat replika pembangunan yang disediakan pada Ekspo Terengganu 2018. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail 

Kejayaan Ekspo Terengganu 2018 yang mampu mencatatkan jumlah pengunjung lebih 500,000 pada hari kedua terakhir penganjurannya mendapat pujian Perdana Menteri dengan memberi markah tertinggi.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, jumlah pengunjung yang di luar jangkaan, kandungan paparan yang dipersembahkan kepada rakyat serta kejayaan ekspo itu menyuntik rangsangan dan inspirasi melayakkan kerajaan Terengganu selaku penganjur diberi markah tertinggi.

Beliau mengakui turut merasa teruja dan bersemangat hari ini melihat kejayaan Ekspo Terengganu yang mendapat sambutan luar biasa, dengan menyaksikan 45 peratus daripada keseluruhan lebih 1.25 juta rakyat Terengganu melawat ekspo berkenaan untuk mendapatkan pelbagai maklumat kejayaan kerajaan mentadbir negeri ini.

"Apabila kita buat satu ekspo, ada beberapa kayu ukur untuk tentukan sama ada ekspo itu berjaya dapat sambutan atau sebaliknya.

"Ujian pertama ialah bilangan pengunjung yang  hadir. Jadi, kalau hendak dikira yang hadir, saya boleh beri markah yang sangat tinggi kerana yang hadir di luar jangkaan," katanya.

Katanya, kedua ialah daripada segi paparan atau kontennnya, sama ada ada kandungan dalam sebuah ekspo itu penuhi kehendak penganjur dan sampaikan mesej jelas dan dapat difahami serta dihayati oleh rakyat dan pengunjung ekspo.

Menurutnya lagi, jika dihitung dari segi kandungan, walaupun beliau hanya sempat meneliti dan melihat sedikit berbanding semua paparan, beliau tetap berpuas hati dan memberi markah tertinggi kepada kerajaan negeri, kerana jelas paparan itu menjurus kepada pencapaian serta kejayaan Kerajaan Terengganu.

"Ukuran ketiga ialah sama ada sebuah ekspo itu memberi ransangan dan inspirasi pada mereka yang melawatnya supaya dalam hati kita akan timbul satu semangat baru, kesungguhan dan bersama-sama dalam perjuangan hala tuju baru dan Transformasi Terengganu Baharu (TTB). Ini juga saya beri markah tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Ekspo Terengganu 2018 di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini

Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Ahmad Shabery Chik dan mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

 Perdana Menteri berkata, beliau juga dapat melihat dengan jelas apa perancangan dan gambaran hala tuju kerajaan negeri dan ia bukan hanya satu slogan, tetapi mempunyai pengisian yang amat jelas.

Tag: