• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Eksport Pasir : Asal Jasa Dilantik Kerana Miliki AP

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Pemilihan Asal Jasa Sdn Bhd sebagai pengambil dan pengeksport pasir di muara sungai Merang, Terengganu dilakukan secara professional di samping hanya syarikat tersebut yang mempunyai lesen eksport (AP).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, tambahan pula semua pemilik konsesi pasir di muara sungai di negeri ini termasuk syarikat Terengganu Dredging (T-Dreg) tidak memiliki AP.

“Dalam isu pasir ini ia melibatkan dua bahagian iaitu pemilik konsesi dan pemilik AP. Jadi T-Dreg selaku pemilik konsesi untuk eksport pasir telah melantik Asal Jasa untuk melaksanakan projek itu, ia menjadi hak pemilik konsesi untuk melantik syarikat mana yang memilki AP sebagai plaksana projek itu.

“Sebelum kelulusan diberi kepada Asal Jasa, sebanyak lima syarikat telah dipanggil dan dianalisa kemampuan-kemampuan mereka, namun lima syarikat itu tiada AP. Kita juga tidak ada ‘favour’ untuk melantik mereka hanya kerana mereka dari Kelantan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman kelmarin.

Menjawab kekeliruan yang ditimbulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kijal), Dato’ Seri Dr Ahmad Said itu, Nurkhuzaini turut menjelaskan, cita-cita besar T-Dreg sememangnya untuk menjadi payung kepada projek-projek berkenaan.

“Namun, T-Dreg masih di peringkat awal penubuhan, jadi cita-cita besar itu akan berlaku melalui proses-proses secara berperingkat,” tambah beliau.
 


Tag: