• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Elak Kahwin Dengan Warga Rohingya - JHEAT

KUALA TERENGGANU, 16 Januari – Rakyat Terengganu dinasihatkan agar tidak berkahwin dengan pelarian Rohingya kerana kesan dan akibat negatif yang akan diterima. 

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata, di Terengganu terdapat lebih kurang 6,000 orang pelarian Rohingya yang menetap di negeri ini.

Katanya, pelarian Rohingya ini merupakan mereka yang tidak mempunyai warganegara namun kerajaan Malaysia memberikan perlindungan sementara kepadanya.

“Pihak JHEAT juga sentiasa memberikan khidmat nasihat terhadap mana-mana permohonan kahwin rakyat Terengganu dengan pelarian Rohingya supaya mengubah haluan akibat risiko yang akan ditanggung.

“Sekiranya mereka berkahwin, maka tidak akan didaftarkan kerana tidak ada warganegara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 1, Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKP) Khidmat Nasihat Undang-Undang Keluarga, Hasyimah Zakaria.

Tambah Moktar, apabila perkahwinan tidak boleh didaftarkan, maka surat nikah juga tidak boleh dikeluarkan.

Justeru, sekiranya mereka gagal mengemukakan bukti yang mereka telah berkahwin.

"Jika ditangkap berdua-duaan, maka penguatkuasaan syariah boleh mengangkat kes mereka kepada pendakwaan syariah untuk dijawab di Mahkamah," katanya.

Sementara itu, anak bersama pasangan Rohingya juga terpaksa dibinkan dengan Abdullah atau mana-mana Asmaul Husna.

Di samping, dari segi tuntutan nafkah juga tidak boleh dituntut.

Selain itu, seandainya pelarian Rohingya ditempatkan di mana-mana negara, maka mereka akan dikeluarkan bersama keluarga (anak dan isteri).


Tag: