• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Elak Kluster Tempat Kerja, TDM Saring 1,376 Pekerja

KUALA TERENGGANU, 30 Januari – Bagi mengelakkan munculnya kluster tempat kerja, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad melakukan saringan ke atas 1,376 pekerja asing syarikat terbabit.

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, ia penting bagi menjaga keselamatan tenaga kerja syarikat di samping melindungi kelangsungan operasi perniagaan.

“Peka dengan perkembangan semasa COVID-19, TDM Plantation, bahagian Perladangan TDM Berhad, dengan kerjasama Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH) baru-baru ini menjalankan saringan COVID-19 bagi pekerja-pekerja asing dari semua ladang kelapa sawit syarikat di Terengganu. 

“Ujian sarıngan yang dijalankan melalui kaedah Rapid Test Kit (RTK) Antigen dan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) tersebut memakan masa 10 hari.

“Ia melibatkan sejumlah 1,376 pekerja asing dari 13 ladang kelapa sawit syarikat di Sungai Tong, Bukit Besi dan Kemaman,” katanya Ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Jelas Najman lagi, langkah tersebut adalah salah satu komitmen berterusan TDM bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pekerja, dan mengelakkan risiko penyebaran COVID-19 di tempat kerja. 

“Sejak awal pandemik COVID-19, TDM telah berganding bahu bersama bahagian penjagaan kesihatannya, KMI Healthcare dalam melaksanakan prosedur yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti pengimbasan suhu, penyediaan cecair sanitasi tangan dan pembersihan menyeluruh ruangan kerja.

“Amalan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka juga ditekankan terutamanya dalam bangunan tempat kerja di mana pekerja banyak berinteraksi bagi menjalankan tugasan harian,” tambah beliau.


Tag: