• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Elak Pasang Bendera di Tempat Undang Bahaya

MARANG, 5 Julai - Semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) diingatkan agar tidak memasang bendera di tempat yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, pihaknya menasihatkan setiap parti untuk tidak menaikkan bendera di tempat-tempat yang boleh menggangu keselamatan.

"Walau bagaimanapun di musim pilihan raya ini ada budi bicara, kalau kita dapati tidak mendatangkan bahaya dan tidak membawa masalah kita benarkan dan beri pengecualian di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai bagi menaikkan bendera.

"Kita tidak boleh kompromi tentang nyawa manusia, jadi perlu dipastikan tempat itu benar-benar selamat. Semangat rakyat terutamanya anak muda waktu ini kita tidak boleh halang, dia akan jadi perkara tidak sihat seandainya berlaku pertembungan di antara Pihak Berkuasa Temptan (PBT) dengan orang awam,"ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jelajah Mega PNBEST dan Himpunan Teguh Pertahan di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Tegasnya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, beliau akan memastikan pegawai-pegawai PBT akan melakukan pemantauan bagi mencegah sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Mana-mana yang kita dapati terlibat memasang bendera di tempat yang tidak selamat akan diberikan nasihat kepada mana-mana parti yang terlibat supaya menurunkkannya dengan sukarela ataupun meletakkannya di tempat yang lebih selamat,"ujarnya.

 


Tag: