• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Empat Beradik Derita Penyakit Saraf Terima Bantuan Tambahan

KEMAMAN, 12 November - Kerajaan negeri  bersetuju menyalurkan Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  sebanyak RM450 sebulan kepada empat beradik yang lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf  mulai Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata bantuan tambahan bernilai RM150 seorang kepada tiga beradik dari Kampung Teluk Kalong itu diputuskan apabila dia difahamkan bantuan sedia ada tidak mencukupi untuk keperluan harian.

"Sebelum ini Mohd. Marsudi Rozali, 36, dan Mohd. Aismuddin, 33, menerima bantuan RM300 sebulan daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) manakala Mohd. Amerizam, 42 menerima pencen ilat PERKESO sebanyak RM1,000 sebulan.

"Setelah berbincang dengan pihak JKM, saya syorkan dan terus meluluskan Bantuan Am Negeri sebanyak RM450 sebulan bagi keempat-empat anak Makcik Rosanani termasuk  Rozanariah Rozali, 43, yang tinggal berasingan dan dijaga oleh suaminya. 

"Jadi jumlah keseluruhan adalah RM1,800 dan kami harapkan jumlah itu dapat menampung perbelanjaan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Rosanani di Kampung Teluk Kalong, hari ini.

Dalam pada itu Hanafiah berkata, kerajaan negeri juga akan membekalkan lampin pakai buang di bawah peruntukan Tabung Darul Iman untuk kegunaan adik-beradik tersebut selama mana mereka memerlukannya.

Sementara itu, Rosanani Salleh, 62, berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri dalam meringankan bebannya bagi urusan penjagaan ketiga-tiga anaknya yang lumpuh berikutan pendapatan sebagai penjual lemang yang tidak menentu kira-kira RM800 sebulan.

"Syukur sebab beban saya makin berkurangan dan boleh luangkan masa lebih banyak dengan anak-anak dan menjaga mereka lebih teliti berbanding sebelum ini terpaksa meninggalkan mereka untuk bekerja," katanya.