• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Empat Daerah Di Terengganu Berisiko Alami Gangguan Air

KUALA TERENGGANU, 22 April -Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu)menjangkakan penggunaan air akan meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus pada Ramadan kali ini dan dijangka berterusan sehingga Aidilfitri nanti. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ts Abdul Karim Endut berkata, susulan itu, pihaknya kini melaksanakan agihan bekalan air secara berjadual di beberapa kawasan di empat daerah iaitu Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu bagi meminimumkan gangguan bekalan kepada pengguna terlibat.

"Kita telah melaksanakan agihan bekalan air berjadual iaitu menutup bekalan air dari pukul 12 tengah malam hingga 4.30 pagi di rumah pengguna terlibat di empat daerah berkenaan.

"Ia bagi memastikan paras air di tangki dapat dipenuhkan pada waktu malam seterusnya melancarkan agihan sepanjang waktu siang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Terengganu Incorporated Sdn Bhd di sini, malam tadi.

Katanya lagi, Satu juga meletakkan tangki statik bagi membolehkan pengguna di setiap 86 lokasi berisiko tetap menerima bekalan air sekiranya berlaku gangguan.

"Enam lori tangki juga akan digerakkan ke kawasan terlibat gangguan bekalan air agar orang ramai dapat meneruskan aktiviti musim perayaan dengan lancar," katanya.