• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Empat Juruselam Dikerah Selesai Gangguan Bekalan Air

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) mendapatkan perkhidmatan empat orang juruselam bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, berkata masalah itu menjejaskan 23,100 akaun pengguna sejak semalam ekoran paip pam yang bersaiz 1,200 milimeter itu pecah di dasar Sungai Terengganu.

Katanya, SATU dengan kerjasama Sumai Engineering Sdn. Bhd. kini sedang berusaha membaiki kerosakan tersebut.

“Kerosakan paip kali kali agak serius dan tidak pernah berlaku sejak 30 tahun paip itu yang di pasang di dasar Sungai Terengganu  iaitu antara sungai Losong Feri hingga ke Bukit Datu.

“SATU berusaha tanpa henti, dimaklumkan 24 jam bekerja secara bergilir-gilir bagi menyelesaikan tersebut," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Menurutnya, sebagai alternatif bagi menyelesaikan masalah air di kawasan terbabit, SATU mula menghantar lori tangki di kawasan tertentu mulai jam 10 malam tadi.

Antaranya, Kampung Kubang Jela Manir,  Perumahan Gong Badak, Perumahan Alor Jambu, Kg Lingai, Tepoh,  Kg Banggol Binjai, Kg Tualang Manir, Kg Banggol,  Taman Desa Tanjung Damai Gong Badak, Kg Jati Gong Badak, Taman Desa Jaya,  Taman Kalungan Ilmu.

Untuk maklumat lanjut berkaitan penghantaran tangki air boleh layari Facebook, SATU Water atau hubungi talian Careline 1-300-882-111 atau 09-6201111.


Tag: