• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Empat Restoran Dikompaun Langgar Pematuhan Harga

KUALA NERUS, 30 November- Sebanyak empat restoran di Kuala Terengganu, Besut, Kemaman dan Dungun dikenakan kompaun bernilai RM1,000 kerana melanggar etika pematuhan harga.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEHP) Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, tindakan tersebut dikenakan hasil pemeriksaan pihaknya ke 346 restoran dan kedai makan di seluruh negeri Terengganu di bawah Ops Menu, bermula 6 November lalu.

"Dua buah restoran dikenakan tindakan kerana gagal meletakkan tanda harga pada menu makanan, manakala dua lagi restoran didapati menggunakan timbangan yang tidak ditentu sahkan bagi tujuan perdagangan.

"Untuk makluman, KPDNHEP membuat tinjauan setiap hari bagi memantau pematuhan berkaitan tanda harga bertujuan mengekang manipulasi harga dan penipuan timbangan, bukan hanya melalui aduan semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Ops Menu di Safiyya Bistro, Seberang Takir, hari ini.

Saharuddin turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa melakukan aduan terus kepada KPDNHEP sekiranya mendapati peniaga melanggar etika dalam perniagaan.

"Setakat ini, di negeri Terengganu tiada aduan kepada kami. Kebanyakan aduan hanyalah melalui media sosial dan ia menyukarkan kita untuk membuat pemeriksaan.

"Jadi salurkan aduan dengan cara yang betul bagi membolehkan kita melakukan pemeriksaan dan tindakan," katanya.

 


Tag: